About


Penulis dilahirkan pada tanggal 2 Januari 1987dan merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Dibesarkan di Melaka dan mendapat pendidikan awal di sekolah Rendah Kebanggsaan Parit Melana. Merupakan pelajar yang aktif dalam bidang sukan dan ko-kurikulum. Bermain bola dan membaca buku merupakan aktiviti yang sering  penulis lakukan di waktu lapang. Penulis juga menyandang jawatan Ketua Pengawas sekolah yang mana merupakan tanggungjawab yang amat besar bagi penulis.  

Penulis menyambung pelajaran sekolah menengah di Sekolah Men. Keb. Durian Tunggal pada tahun 2000, dan pada tahun pertama, penulis mendapat tawaran memegang jawatan Pengawas sekolah tapi di tolak oleh penulis sebab dah lama tak merasa pakai baju sekolah warna putih (alasan yang tak meyakinkan). Penulis sememangnya tidak mahu lagi memegang apa-apa jawatan bila menjejakkan kaki ke sekolah menengah kerana dah penat dengan tugas-tugas pengawas nie. Cukuplah waktu sekolah rendah dulu. Tapi apakan daya, bila dah tolak jawatan pengawas, kena pula paksa jadi ketua tingkatan. dah tak boleh nak lari lagi dah nie. Dengan berat hati.....penulis dengan sahnya menjadi ketua tingkatan kelas 1B (dah takde orang lain ke). 

Tahun 2004 merupakan tahun yang paling getir buat penulis kerana pada tahun inilah penulis akan menghadapi peperikaan yang paling besar dalam hidup sebagai pelajar sekolah. Ini juga yang akan menentukan arah kehidupan penulis. Alhamdulillah, peperiksaan SPM berjaya mengubat kekecewaan penulis pada peperiksaan PMR lalu. Walaupun tidak sebaik pelajar cemerlang sekolah, penulis bangga dengan kejayaan ini. Dalam gembira untuk menyambung pelajaran, penulis terpilih pula untuk menjalani program latihan Khidmat Negara. Aduh kenapa aku dapat pulak nie, kan banyak lagi nama yang ada, nama aku jugak yang dorang minat. Kena jugak pergi, kalau tak kena masuk penjara lak, lagi kecoh. Panggilan kedua tahun 2005, penulis mula menjalani latihan Khidmat Negara selama tiga bulan di Port Dickson. Masih ingat lagi nama kem tersebut, PDS Resort. Disitu bermulalah pula kisah penulis sebagai peserta Khidmat Negara. Sedar tak sedar masa terus berlalu dan tempoh tiga bulan program nie berjaya penulis laksanakan dengan jayanya. (dapat sijil lagi)

Pada tahun 2006 penulis menyambung pelajaran di dalam bidang kemahiran sebagai Juruelektrik disalah satu institut pengajian tinggi di Melaka dan tamat pada tahun 2007. Selepas itu penulis terus menceburkan diri dalam bidang pekerjaan. Pekerjaan pertama penulis adalah sebagai Juruteknik Elektrik di salah satu kompleks kerajaan di Melaka. Selepas hampir setahun bekerja di situ penulis beralih angin pula dengan meyertai sebuah syarikat Oil and Gas juga di negeri Melaka. Bekerja dalam bidang Oil and Gas nie merupakan cabaran yang besar terhadap penulis kerana memerlukan komitmen yang amat tinggi, sesuai sekali dengan gaji yang diterima. Setelah tamat kontrak, penulis bekerja pula di sebuah syarikat anak kerajaan negeri dan sehingga kini penulis masih lagi berkhidmat di syarikat ini.

Tarikh 4hb. Februari 2011merupakan tarikh keramat buat penulis kerana pada tarikh inilah penulis menamatkan zaman bujang dengan pilihan hatinya iaitu Zurina binti Bidin. Satu lagi perubahan dalam hidup penulis yang kini bergelar suami orang. Alhamdulillah, isterilah yang banyak membantu penulis dikala susah mahupun senang. Terima kasih tak terhingga sekali lagi. 

Dunia blogging penulis bermula hampir setahun yang lalu, dan boleh dikatakan bahawa penulis masih lagi baru di dalam dunia blogging nie. Penulis bukanlah seorang blogger sepenuh masa kerana penulis mempunyai pekerjaan tetap,tetapi penulis menjadikan dunia blogging nie sebagai sebuah platform untuk penulis berkongsi ilmu pengetahuan dengan pembaca disamping menjadi salah satu sumber untuk menjana pendapatan tambahan buat penulis. Sehingga waktu ini penulis masih lagi belajar menguasai dunia blogging ini dengan rakan-rakan blogger yang lain. Masih lagi meningkatkan diri dalam bidang penulisan. Semoga minat dan hobi  penulis dalam dunia blogging ini mendatangkan sesuatu yang bermanfaat buat penulis di masa akan datang. Sekian........

Mohd Azuan Baharan